Hi semua! Selamat datang ke Monstera Hut!
Memang banyak pertanyaan yang saya nampak berkenaan cara untuk keluarkan akar pokok montera dari keratan batang, terutama sekali untuk Monstera Albo dan Thai Constellation, yang mana sukar didapati dari kedai atau tapak semaian tempatan.
Jadi, kebanyakan dari kita membeli pokok Monstera Albo atau Thai Constellation secara online. Tetapi, mesti berhati-hati kerana banyak scammer di luar sana. Walau apa pun cara anda membeli pokok ini, kebanyakan adalah dari keratan batang dengan akar yang kecil, muda dan mudah rosak. Ini adalah peringatan untuk semua.
Nasihat saya adalah, JANGAN sesekali terus masukkan anak pokok yang baru sampai terus ke dalam tanah. Kemungkinan besar pokok tersebut akan mati. Jadi, berhati-hati kerana anak pokok ini sangat mahal.
Jom kita mulakan. Pertama sekali, anda perlukan;
Bebola Leca (clay pebbles)
Bekas kaca yang tinggi
Mangkuk
Air paip yang bersih
Note: Saya sertakan gambar bebola leca di sini untuk rujukan kepada yang tidak tahu apa itu bebola leca.
Di dalam mangkuk tadi, anda bersihkan bebola leca sehingga bersih dan rendam selama 2 jam. Ini adalah untuk pastikan air diserap sehingga ke bahagian dalam bebola leca. Sementara menunggu bebola leca sedia untuk digunakan, letakkan anak pokok yang baru sampai di dalam air.
Kemudian, lapiskan bahagian bawah balang kaca dengan bebola leca yang telah direndam tadi setinggi 1-2 inchi dan barulah masukkan anak pokok dan terus penuhkan balang kaca dengan bebola leca yang telah di rendam. Kemudian, masukkan air paip yang bersih sehinga mencecah bebola leca yang paling atas. Untuk air paip tadi, anda buleh juga tambahkan dengan sedikit cecair pemangkin akar "MiracleGro Quick Start" sebelum tuang kedalam balang kaca tadi. Ini hanyalah untuk mempercepatkan proses. Kemudian, biarkan pokok dan bebola leca terendam di dalam air selama 2 hari.
Selepas 2 hari, tuang keluar air dari dalam balang kaca dan tinggalkan air sebanyak 1-2 inchi dari dasar balang. Pada ketika ini, pokok tidak lagi terendam di dalam air. Jangan risau pokok tidak mendapat air secukupnya kerana, air yang kita tinggalkan di bahagian bawah balang tadi akan meruap secara perlahan-lahan dan akan sentiasa melembabkan bebola leca dah anak pokok. Keadaan ini menyerupai suasana di dalam tanah dan akar yang tumbuh dengan cara ini adalah lebih kuat dan lasak berbanding akar yang tumbuh di dalam air. Anda akan dapati warna akar yang tumbuh dengan cara ini adalah lebih gelap berbanding warna putih bersih akar yang tumbuh di dalam air.
Sila lihat lukisan saya di bawah. Saya harap, lukisan saya ini dapat menggambarkan proses yang saya terangkan secara menyeluruh.
Jangan lupa untuk sentiasa letakkan anak pokok di tempat yang cerah seperti di tepi tingkap sepanjang proses ini. Selepas beberapa minggu, anda akan dapat melihat akar-akar mulai kelihatan menghampiri dinding balang kaca. Sepanjang proses ini, anda perlu sentiasa perhatikan paras air dan daun anak pokok. Pastikan air sentiasa ada di dasar balang dan daun anak pokok sentiasa sihat dan tiada perubahan warna pada daunnya.
Sekarang, soalan berikutnya adalah, bila pokok ini boleh dipindahkan ke dalam tanah? Tiada jawapan yang betul atau salah untuk soalan ini. Pada saya, apabila saya nampak banyak akar yang sudah keluar, kelihatan tebal dan warnanya putih yang kotor atau comot, pada saya anak pokok tadi sudah boleh dipindahkan kedalam tanah. Jadi anda boleh keluarkan pokok dari balang kaca dengan perlahan-lahan dan berhati-hati. JANGAN sesekali menarik anak pokok tersebut. Saya biasanya akan tuang bebola leca perlahan dan pastinya ada bebola leca yang melekat pada akar. Tanggalkan berlahan-lahan dan berhati-hati. Tidak menjadi masalah untuk tinggalkan bebola leca yang anda tidak selesa untuk tanggalkan.
Nah, sekarang anda telah pun berjaya mengeluarkan akar dari anak pokok monstera anda! Walaupun begitu, langkah seterusnya juga adalah sangat penting dimana anda perlu membuat pemilihan tanah yang betul untuk anak pokok anda. Pastikan tanah yang hendak digunakan mempunyai saliran yang baik dan mampu menyimpan lembapan (bukan basah). Pada saya, saya suka guna tanah "MiracleGro Potting Mix" bukan hanya kerana tanah ini mempunyai saliran air yang baik dah mampu menyimpan lembapan, tanah ini juga sangat ringan. Jadi, amat mudah untuk saya alihkan pasu kemana sahaja bila perlu.
Berdasarkan pengalaman saya, cara ini adalah yang terbaik untuk keluarkan akar bagi anak pokok monstera dari keratan batang. Dan cara ini juga telah menyelamatkan anak pokok Monstera Thai Constellation saya semasa saya masih baru berjinak-jinak dengan monstera. Malangnya pada masa itu, saya membuat kesilapan sehingga anak pokok Monstera Thai Constellation saya mereput sehingga ke batang. Jadi, saya terpaksa potong bahagian batang yang reput dan pada ketika itu, tiada langsung nod akar kelihatan. Saya sangat sedih kerana semua artikel yang saya baca mengatakan keratan yang tiada nod akar, memang akan mati. Tetapi, saya tetap mencuba untuk selamatkan anak pokok saya dengan menggunakan cara ini. Saya nekad untuk tidak pembuang pokok tersebut selagi daunnya masih hijau. Alhamdulillah, setelah 3 bulan, ya!... 3 bulan! Akhirnya, saya nampak akar kecil muncul kelihatan di dinding balang kaca. Saya sangat gembira!
Lihat gambar ini, ini adalah anak pokok Monstera Thai Constellation yang saya berjaya selamatkan melalui cara yang saya terangkan di atas. Ini adalah gambar terbaru dan pokok ini berusia 1.5 tahun dari hari saya terpaksa potong batangnya yang reput. Perlahan, tetapi pasti ianya makin membesar.
Sekian semua! Saya harap artikel ini membantu mereka-mereka yang masih mencari jalan untuk keluarkan akar pokok monstera dari keratan. Banyak juga cara-cara lain di luar sana, tetapi cara ini amat berkesan pada saya dan cara ini juga tidak pernah kecewakan saya. Saya harap artikel ini bermanfaat buat semua.
Seterusnya, saya akan kongsikan cara-cara untuk menyiram pokok monstera tanpa sebarang risiko yang boleh merosakkan akar pokok monstera kesayangan anda. Terima kasih kerana sudi membaca blog saya dan stay tuned, guys.
Sila subscribe untuk dapatkan makluman untuk topik-topik terbaru! Terima kasih.
Comments