top of page
Cari
Writer's pictureZA

Monstera Adansonii - Chapter 1, Perjalanan Baru

Updated: 3 Okt 2021

Hi semua, selamat datang sekali lagi ke Monstera Hut!


Untuk tajuk kali ini, saya hendak berkongsi dengan anda semua perjalanan baru saya bersama Monstera Adansonii Albo. Monstera Adansonii tergolong dalam keluarga yang sama dengan Monstera Deliciosa, iaitu Keluarga Araceae. Tetapi, pada saya, saya tidak melihat pokok ini sebagai Monstera kerana daunnya sangat kecil berbanding Monstera Deliciosa. Saya anggap pokok ini sama seperti pokok duit yang senang di jaga dengan kadar tumbesaran yang cepat.


Sebenarnya, saya dah lama simpan keinginan untuk memiliki Monstera Adansonii Albo. Tetapi harganya sangat mahal pada saya dengan size daun yang sangat kecil membuatkan saya berfikir banyak kali untuk membelinya. Tetapi dengan keinginan yang besar, saya terpaksa membuat keputusan untuk menjual salah satu dari Monstera Albo saya (gambar di bawah). Saya pengambil keputusan untuk menjual Monstera Albo saya di dalam group persendirian Facebook yang bernama "Malaysia Plant Sales", yang mana telah mendapat banyak hits dan saya agak terperanjat dengan sambutan yang diterima.



Secara jujur, saya tidak pernah terfikir yang saya hebat dalam menjaga pokok Monstera Albo kerana saya rasa orang lain pun seperti saya juga. Tetapi saya mendapat banyak mesej saya secara peribadi untuk menanyakan cara atau tip-tip menjagaan. Jadi, saya pun maklumkan kepada semua yang saya sudah kongsikan semua cara dan tip-tip menjagaan Monstera dalam post sebelum ini yang bertajuk "Tip Penjagaan Monstera Deliciosa". Saya tidak sembunyikan sebarang rahsia penjaagan dan saya bukan pakar, saya banyak belajar melalui membaca dan melalui pengalaman, dan saya rasa seronok untuk kongsikan kepada semua dengan harapan dapat membantu orang lain juga. Dipendekkan cerita, selepas 2 hari saya iklankan di Facebook untuk menjual Monstera Albo saya, akhirnya saya telah berjaya menjualnya. Pembeli adalah seorang yang sangat sopan, dan kami berkongsi hobi yang sama dan saya berasa sangat berbesar hati untuk menyerahkan Monstera Albo saya kepada beliau.


Dalam masa yang sama, respon dan komen-komen dari warga Facebook juga telah mendorong saya untuk terus menulis dan kongsikan perjalanan saya dalam menjaga setiap pokok-pokok saya. Jadi, saya pun menulis artikel ini, dengan harapan supaya pengalaman yang saya telah lalui dapat membantu dan memberi manfaat kepada semua supaya tidak pengulangi kesilapan-kesilapan yang saya lakukan.


Jadi, setelah menjual Monstera Albo saya, akhirnya saya dapat memiliki Monstera Adansonii Albo yang dapat anda lihat dalam gambar ini. Secara jujurnya, saya juga berasa takut yang saya akan membunuh pokok ini. Tetapi dalam masa yang sama, saya juga sangat teruja untuk belajar tentang pokok ini. Berdasarkan apa yang saya baca, pokok ini memerlukan ciri-ciri tanah yang agak sama dengan Monstera Deliciosa dan saya berasa sangat lega kerana pada saya, tanah yang saya gunakan untuk semua Monstera saya adalah yang terbaik. Jadi, saya akan menggunakan tanah yang sama. Namun begitu, saya tidak ada pengalaman dalam penjagaan pokok Monsters Adansonii, saya tidak tahu tentang jumlah air yang diperlukan, pencahayaan yang diperlukan, anatomy pokok ini dan langsung tidak tahu cara pembiakan pokok ini.


Jadi, untuk tahu lebih lanjut berkenaan pokok ini, saya membuat keputusan untuk membeli Monstera Adansonii hijau. Harganya jauh lebih murah dan dengan itu, saya boleh potong, cabut daunnya, cuba berbagai kaedah untuk penumbuhan akar untuk pembiakan dan juga menggunakan tanah yang berbeza-beza untuk pemerhatian. Ini adalah cara terbaik pada saya untuk belajar. Dengan cara yang sama juga, saya belajar tentang pokok Monstera Deliciosa di mana saya bermula dengan Monstera hijau, kemudian bergerak ke Monstera Thai Constellation dan seterusnya ke Monstera Albo. Untuk pengetahuan semua, banyak juga Monstera hijau dan Monstera Thai Constellation yang telah mati sepanjang process saya belajar sebelum saya sampai ketahap saya sekarang dalam penjagaan Monstera Albo.


Sekian dulu untuk kali ini. Dalam chapter yang berikutnya, saya akan kongsikan bagaimana saya pindahkan pokok Monstera Adansonii Albo ini ke dalam pasu yang lebih besar. Buat masa sekarang, saya akan biarkan pokok ini menyesuaikan diri di tempat baru sebelum menerima kejutan baru apa bila saya pindahkan ke dalam pasu yang lain. Jadi, stay tuned semua. Saya juga akan rakamkan video semasa proses pemindahan ke pasu yang baru.


Sila subscribe untuk dapatkan makluman untuk topik-topik terbaru! Terima kasih.

69 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page