top of page
Cari
Writer's pictureZA

Tip Cara Penjagaan Pokok Rosemary


Rosemary adalah salah satu pokok herba kegemaran saya, dan bau dari pokok rosemary adalah kesukaan ramai penggemar tanaman herba. Tetapi, penjagaan pokok rosemary di iklim tropika tidak semudah yang saya sangka. Saya telah membunuh banyak pokok rosemary sehinggalah saya betul-betul faham akan cara-cara penjagaannya di iklim tropika kerana saya menetap di Kuala Lumpur, Malaysia.


Rata-rata saya baca topik-topik berkenaan penjagaan pokok rosemary ini, kesemuanya mengatakan pokok in sangat lasak dan mudah membesar selagi kita menggunakan tanah yang mempunyai saliran air yang baik kerana akar pokok rosemary sangat sensitive terhadap air kerana mudah reput. Dan selalunya, apabila saya membeli dari tapak semaian berdekatan, mereka akan mengatakan benda yang sama seperti apa yang saya baca. Jadi, saya kerap membeli pokok rosemary sebab saya tidak berputus asa sehingga saya betul-betul faham kenapa semua rosemary saya asyik mati.


Saya juga telah mencuba banyak jenis campuran tanah, campuran dengan pasir sungai, campuran dengan perlite, campuran dengan leca (clay pebbles), dan juga campuran kesemuanya. Dengan satu tujuan, untuk mendapatkan tanah yang memiliki saliran air yang terbaik.


Tetapi, malangnya, walaupun saya telah berhati-hati semasa menyiram kerana rosemary terlalu sensitif terhadap air. Saya tetap membunuh kesemuanya tanpa saya sedari dan keadaan ini amat mengecewakan.


Jadi, di sini, saya ingin berkongsi tip-tip penjagaan dengan harapan semua rakan-rakan penggemar pokok dapat manfaat dari toip saya ini tanpa melalui kesukaran yang telah saya tempuh. Saya berharap rakan-rakan semua akan mencuba tip saya ini, terutamanya kepada yang dah hampir putus asa.



AIR

Ya, semua asyik mengatakan yang akar rosemary sensitif can cepat reput kerana air. Kita semua sudah sedia maklum. Tetapi, kesilapan saya adalah, saya terlalu risau saya terlebih air sehinggakan saya terkurang air tanpa sedar.

Dulu, saya siram air kedalam pasu dan saya akan berhenti siram bila saya nampak air mengalir keluar dari bawah pasu. Ini lah yang menyebabkan rosemary saya kekurangan air. Kenapa? Lihat lukisan saya di sebelah kiri.


Anda boleh nampak air pengalir keluar dari bawah pasu tanpa melalui tanah. Ia mengalir keluar melalui ruang antara pasu dan tanah. Jadi, air yang terserap ke dalam tanah adalah sangat sedikit. Harapnya lukisan saya memberi gambaran yang jelas.


Jadi, apa yang saya lakukan sekarang adalah seperti lukisan saya di sebelah kanan. Saya akan letakkan pasu rosemary ke dalam bekas dan saya akan siram sehingga bekas takungan air di bawah pasu penuh, dan saya akan biarkan terendam selama 10 minit. Ini akan memberi masa yang cukup untuk air diserap kedalam kesemua tanah di dalam pasu tersebut. Kemudian, saya akan keluarkan pasu rosemary dan lebihan air dari dalam tanah akan mengalir keluar secara perlahan-lahan.



CAHAYA

Rosemary sukakan cahaya matahari, tetapi berhati-hati! Dari kebanyakan artikle yang saya baca, kesemuanya mengatakan pokok rosemary sangat lasak dan boleh bertahan di bawah matahari. Tetapi, kita kena ingat, dalam iklim tropika, cahaya matahari akan membunuh pokok rosemary. Jadi, berhati-hati dengan cahaya matahari secara terus. Jadi, saya cadangkan tempat yang terang, tetapi bukan dibawah matahari terik. Saya telah membunuh banyak pokok rosemary disebabkan kesilapan ini.

TANAH

Seperti yang anda semua tahu, rosemary sangat sensitif terhadap air kerana akarnya cepat mereput. Jadi, HANYA gunakan tanah yang mempunyai saliran air yang baik. Campuran perlite atau leca (clay pebbles), atau anda boleh campurkan dengan pasir sungai. Untuk saya sendiri, saya akan gunakan campuran kedua-dua bahan iaitu pasir sungai dan perlite. Rosemary saya membesar dengan baik dalam campuran ini.

TEMPERATURE

Tak perlu dirisaukan sangat berkenaan dengan suhu. Di iklim tropika, rosemary tumbuh subur selagi kita tidak letakkan pokok rosemary dibawah matahari terik. Pokok akan hidup dan membesar dengan baik.

KELEMBAPAN UDARA

Kita tak perlu risau dengan factor kelembapan udara kerana ia tidak akan menjejaskan pokok rosemary. Berdasarkan pengalaman saya menjaga rosemary semasa saya tinggal di Calgary, Canada di mana kelembapan udara adalah tersangat kering berbanding Kuala Lumpur yang mempunyai kelembapan udara yang sangat tinggi sepanjang tahun. Rosemary saya hidup segar hidup segar di kedua-dua iklim.

Saya mohon anda semua akan mencuba tip penjagaan rosemary ini dan sila kongsikan dengan saya pengalaman anda hasil dari tip saya ini.

Sekarang, lihat rosemary saya seperti gambar ini yang mana ia telah mula berbunga. Saya tak sabar nak tunggu kesemuanya kembang. Terima kasih kerana membaca blog saya, dan jangan lupa subscribe untuk mendapat notis untuk lebih banyak tip-tip menjagaan pokok hiasan dan herba dari saya.


PERMASALAHAN BIASA UNTUK ROSEMARY

  • Daun akan menjadi hitam - Terlebih air dan tanah terlalu lembab. Ini juga menunjukkan yang akar pokok sudah mula mereput.

  • Daun akan layu dan menjadi hitam - Kurang air.

  • Aklimatisasi - Amat penting untuk mengaklimatisasi pokok yang anda baru beli dari tapak semaian. Suasana di tapak semaian di jaga rapi dari segi kelembahan, suhu dan cahaya untuk menggalakan tumbersaran pokok. Jadi, bila sampai dirumah, pokok perlu menyesuaikan dengan suasana baru dan ini perlu di lakukan perlahan-lahan sebelum meletakkan pokok di luar rumah. Tanpa aklimatisai, ia boleh membunuh pokok anda.



2,551 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comentários


bottom of page